//pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js

Selamatkah Pembedahan Perut Untuk Kurus?

Saban tahun, angka yang meninggal dunia akibat daripada komplikasi berkait rapat dengan obesiti cukup besar. Ramai di kalangan kita mungkin tidak sedar bahawa obesiti merupakan antara punca kematian tertinggi kerana kegemukan itu ibarat lubuk punca semua penyakit kronik. Pertambahan saiz dan berat badan yang berlebihan boleh menimbulkan pelbagai masalah kesihatan yang serius seperti tekanan darah tinggi, masalah jantung, strok, masalah tidur, asma, kegagalan mengawal air kencing, sakit belakang, ketidaksuburan dan pelbagai lagi.

Jadi, cara terbaik untuk merawat dan mengurangkan masalah kesihatan yang serius itu adalah dengan mengecilkan saiz dan mengurangkan berat badan. Pelbagai cara mengurangkan berat badan boleh dilakukan seperti berdiet, aktif bersenam atau mengambil pil kurus tetapi bukan semua orang dapat keputusan seperti yang diingini atas faktor tertentu.

Oleh kerana ada yang tidak dapat mengurangkan berat badan atas faktor-faktor tertentu, maka alternatif terakhirnya adalah dengan melakukan pembedahan bariatrik atau bahasa mudahnya pembedahan perut. Apa itu pembedahan bariatrik?

Pembedahan bariatrik adalah teknik pembedahan bertujuan mengurangkan berat badan dengan cara meletakkan alat bantuan seperti pengikat gastrik mahupun pembuangan beberapa bahagian pada perut. Ia seperti pintasan gastrik dan pembedahan sleeve gastrik antara penyelesaian kepada dilema individu obes.

Menurut Pakar Bedah, Pusat Pengurusan Berat Badan dan Pembedahan Hospital Pakar KPJ Damansara, Datuk Dr. Haron Ahmad, pembedahan bariatrik dicadangkan kepada mereka yang indeks jisim badan (BMI) melebihi 38 hingga 40 dan gagal melalui cara pengurangan berat badan yang lain. Begitu juga bagi mereka yang mencapai BMI 35 dan menderita penyakit seperti diabetes kronik dan masalah jantung berkait dengan obesiti turut disyorkan menjalani pembedahan.

Lazimnya, doktor akan mengesyorkan diet atau senaman bagi mengurangkan berat badan ke tahap yang sihat. Namun jika sudah lebih setahun berusaha tetapi masih tidak berjaya, pembedahan bariatrik dicadangkan bagi mengurangkan atau merawat masalah penyakit kronik yang berkait rapat dengan obesiti.

Fungsi utama pembedahan bariatrik bukan sekadar tampak kurus tetapi lebih kepada pemulihan kesihatan kerana obesiti punca pelbagai penyakit kronik. Walau bagaimanapun, pembedahan bariatrik bukanlah dikategorikan sebagai pembedahan kosmetik.

Kaedah Rawatan

Antara contoh rawatan untuk penghidap obesiti adalah seperti pintasan gastrik, pembedahan sleeve gastrik, ikatan gastrik dan belon intragastrik. Selepas pembedahan, pesakit akan berasa cepat kenyang dan kurang selera makan.

Justeru ini akan membuatkan sistem tubuh mengambil tenaga daripada lemak pada badan sebagai ganti kepada makanan yang sering diambil. Kehilangan sebanyak 30 peratus daripada berat badan berlebihan sudah mampu mengurangkan risiko-risiko penyakit yang berkait rapat dengan obesiti.

Kelebihan Pembedahan Bariatrik

Kelebihan apabila seseorang telah menjalani pembedahan bariatrik ialah ia mampu memperbaiki kualiti hidup pesakit. Selepas pembedahan, pesakit akan dapat melihat kesan positif seperti pengurangan berat badan yang ketara, iaitu biasanya pengurangan berat badan antara 20 hingga 48 kilogram dan berat badan mereka kekal.

Antara lainnya ialah memberi kesihatan yang lebih baik kepada pesakit jantung, tekanan darah menurun, memulihkan pesakit yang mengalami diabetes tahap 2 serta merendahkan paras kolesterol dalam darah mereka, malahan 60 peratus daripadanya tidak perlu bergantung kepada ubat lagi.

Selain itu, ia dapat memulihkan masalah pernafasan ketika tidur, pedih ulu hati, memperbaiki pergerakan anggota badan malah menghilangkan sakit teruk pada sendi-sendi tulang akibat berat badan yang berlebihan. Di samping itu juga, masalah kitaran haid wanita obes yang tidak teratur sehingga membawa kepada gangguan kesuburan juga dapat diperbaiki.

Dari segi psikologinya, pembedahan ini bagus kerana ia meningkatkan semangat dan pengawalan emosi kerana pesakit obes selalunya berasa rendah diri.

Selamatkah pembedahan ini? Apakah komplikasinya?

Apa sahaja pembedahan pasti ada komplikasi atau risikonya. Begitu juga dengan pembedahan bariatrik dan hasil pembedahan itu juga tidak boleh dilihat dengan segera. Namun begitu, ia berbeza bagi setiap pesakit bergantung kepada sejarah kesihatan dan prosedur yang dijalani. Selepas pembedahan, pesakit perlu menjalani rawatan susulan serta sesi bersama kaunseling dan pakar diet bagi memastikan perawatan yang menyeluruh ke atas pesakit.

Risiko untuk pembedahan pintasan gastrik atau sleeve gastrik untuk bocor ada sebanyak 1 %. Selain itu, pesakit akan dibekalkan dengan pil vitamin bagi memberi nutrisi yang tidak mencukupi akibat pembedahan tersebut. Pesakit yang menjalani pembedahan bariatrik juga perlu bertemu dengan pakar kaunseling kerana cara pemakanan selepas pembedahan agak berbeza berbanding sebelum itu.

Komplikasi yang berlaku, selalunya pesakit mungkin akan muntah jika masih kekal mengambil jumlah makanan yang banyak seperti sebelum pembedahan kerana perut yang semakin kecil. Oleh kerana itu, maka prosedur selepas pembedahan perlu disusuli dengan sokongan berterusan dan pelan yang jelas untuk susulan jangka panjang.

• Meet the Author ➞ diarikurus1



3 comments… add one

Leave a Comment

Nak Panduan Kurus PERCUMA? Masukkan Nama & Email 
x